Karya lain Euclid

Pembinaan dodekahedron biasa oleh EuclidPembinaan sebuah dodekahedron berasaskan kubus

Selain Elemen, terdapat sekurang-kurangnya lima karya lain Euclid yang masih wujud sehingga hari ini. Kebanyakannya mengikut struktur logik yang sama seperti Elemen, dengan definisi dan proposisi yang terbukti.

  • Data membincangkan tentang alam semula jadi dan implikasi maklumat "yang diberi" dalam masalah geometri; pelajaran terasnya sangat berkait rapat dengan empat buku pertama dalam Elemen.
  • Tentang pembahagian rajah, hanya sebahagian dalam terjemahan bahasa Arab yang masih wujud, membincangkan pembahagian bentuk geometri kepada bahagian-bahagian yang sama atau kepada bahagian-bahagian mengikut nisbah tertentu. Ia sama dengan karya abad ketiga oleh Heron dari Iskandariah.
  • Catoptrics, membincangkan tentang teori matematik berkaitan cermin, terutamanya imej yang terbentuk dalam cermin yang mencengkung dan mensatah. Bagaimanapun, kaitan karya ini diragukan oleh ahli sejarah. Ada yang berpendapat ia karya Theon dari Iskandariah.
  • Phaenomena, satu karangan tentang astronomi sfera, masih wujud dalam bahasa Greek; ia agak mirip dengan karya Tentang sfera yang bergerak oleh Autolycus dari Pitane, yang terkenal sekitar tahun 310 SM.
  • Optik ialah karangan tertua Greek yang masih wujud tentang perspektif. Dalam definisinya, Euclid mengikut tradisi Plato yang menyatakan penglihatan adalah disebabkan oleh sinar diskret yang muncul dari mata. Definisi yang penting ialah yang keempat: "Benda yang dilihat di bawah sudut yang lebih besar kelihatan lebih besar, dan yang di bawah sudut lebih kecil kelihatan lebih kecil, sementara yang di bawah sudut yang sama kelihatan sama". Dalam 36 proposisi yang seterusnya, Euclid mengaitkan saiz sesebuah objek kepada jarak dari mata dan mengkaji bentuk silinder dan kon apabila dilihat dari sudut berbeza. Proposisi 45 adalah menarik, ia membuktikan yang bagi sebarang dua magnitud yang tak sama, terdapat satu titik di mana kedua-duanya kelihatan sama. Pappus percaya keputusan-keputusan ini sangat penting kepada bidang astronomi dan memasukkan karya Optik ini, bersama-sama dengan karyanya Phaenomena, ke dalam Astronomi kecil, satu kompendium (ringkasan) karya-karya kecil yang perlu dikaji terlebih dahulu sebelum mengkaji karya Claudius Ptolemy, 'Syntaxis (Almagest).

Terdapat juga karya-karya lain yang dikaitkan dengan Euclid, tetapi telah lama hilang.

  • Konik merupakan satu karya tentang keratan kon yang kemudiannya dikembangkan oleh Apollonius dari Perga ke dalam karyanya tentang subjek tersebut. Adalah dipercayai empat buku-buku pertama Apollonius datang secara langsung dari Euclid. Menurut Pappus, "Apollonius yang telah melengkapkan empat buku Euclid tentang keratan kon dan menambah empat lagi, telah mewariskan lapan jilid tentang keratan kon." Karya Apollonius dengan pantas mengambil tempat karya yang sebelumnya, dan pada zaman Pappus, karya Euclid telah hilang.
  • Porisme mungkin merupakan tunas bagi karya Euclid tentang keratan kon, tetapi maksud sebenar tajuknya masih menjadi kontrovesi.
  • Pseudaria, atau buku tentang keliruan, merupakan teks asas tentang ralat di dalam penaakulan.
  • Permukaan Loci membincangkan samada tentang loci (set titik) pada permukaan atau loci sebagai permukaan itu sendiri; menurut interpretasi terkemudian, karya ini dihipotesis mungkin berkaitan dengan permukaan kuadrik.
  • Beberapa karya tentang mekanik dikaitkan dengan Euclid oleh sumber Arab. Karya Tentang yang berat dan ringan mengandungi, dalam sembilan definisi dan lima proposisi, idea Aristotle tentang badan yang bergerak dan konsep graviti khusus. Tentang Keseimbangan mengkaji teori tuil sama dengan kaedah Euclid, mengandungi satu definisi, dua aksiom, dan empat proposisi. Bahagian ketiga, tentang bulatan yang diterangkan dengan hujung tuil yang bergerak, mengandungi empat proposisi. Ketiga-tiga karya ini saling melengkap antara satu sama lain sehingga dipercayai kesemuanya berasal dari satu karangan tentang mekanik yang ditulis oleh Euclid.